Saturday 11 April 2015

Melabur Wang Anda !

PENGENALAN

Pelaburan adalah sebahagian daripada perancangan kewangan keseluruhan anda. Sekiranya anda mempunyai sedikit simpanan, anda mungkin hendak melabur untuk memaksimumkan pulangan. Buku kecil ini bertujuan untuk memberi anda beberapa panduan tentang perkara yang perlu diambil kira sebelum anda melabur serta perkara yang boleh dilakukan dan yang perlu dielakkan apabila melabur.

PERBEZAAN ANTARA PELABURAN DENGAN SIMPANAN

Pelaburan berbeza daripada simpanan. Dalam simpanan, pada umumnya anda akan mendapat semula simpanan anda, bercampur faedah.

Walau bagaimanapun, dalam pelaburan, anda mungkin atau mungkin tidak mendapat semula jumlah yang dilaburkan atau anda mungkin mendapat lebih daripada jumlah awal pelaburan. Potensi untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi ini adalah sebagai ganjaran bagi risiko yang lebih tinggi yang anda telah ambil.

MERANCANG PELABURAN ANDA

Pelaburan yang bijak tidak bergantung pada nasib, tetapi adalah hasil daripada perancangan yang teliti. Apabila anda melabur, anda tidak boleh bergantung pada khabar angin.

Anda perlu meluangkan sedikit masa untuk memahami keadaan pasaran, sama ada melalui penyelidikan atau mendapat khidmat pakar. Berikut adalah beberapa isu yang anda perlu tahu:

Langkah 1: Tahu mengapa anda hendak melabur

Sebelum anda melabur, anda perlu tahu tujuan pelaburan anda, iaitu matlamat dan objektif kewangan anda.

Matlamat kewangan anda mungkin untuk:

• Membeli kereta
• Membeli rumah
• Menghantar anak-anak anda untuk pengajian tinggi
• Pergi bercuti
• Merancang persaraan yang selesa untuk masa depan

Objektif pelaburan anda adalah sama ada untuk:

• Mengekal atau memelihara kuasa beli bagi amaun pokok yang dilaburkan
• Mendapat pendapatan daripada pelaburan anda
• Meningkatkan nilai aset bersih anda
• Gabungan mana-mana daripada yang di atas

Anda boleh mencapai matlamat anda dengan melabur simpanan anda berdasarkan jangka masa apabila matlamat kewangan anda boleh dicapai.

Selain itu, adalah penting bagi rancangan pelaburan anda bersesuaian dengan objektif perancangan kewangan keseluruhan anda bagi mendapatkan hasil yang terbaik untuk mencapai matlamat anda.

Langkah 2: Tahu isu utama yang perlu diambil kira apabila melabur

Memandangkan pelaburan ialah komitmenjangka panjang, anda perlu mengambil kira kemampuan dan keupayaan anda untuk melabur sebelum anda membuat pelaburan. Antara isu utama yang perlu dipertimbangkan adalah seperti yang berikut:

• Berapa banyakkah wang yang anda punyai untuk komitmen jangka sederhana dan panjang?
• Adakah anda benar-benar memahami produk yang anda hendak laburkan?
• Adakah pelaburan yang dirancang bersesuaian dengan portfolio keseluruhananda?
• Sudahkah anda membandingkan pulangan bagi pelaburan lain yang sama?
• Adakah anda memahami risiko yang terbabit dan adakah anda tahu tahap kerugian yang boleh anda    tanggung? (iaitu berapa banyakkah perubahan harga/nilai pelaburan yang anda boleh tanggung)
• Apakah jangkaan anda terhadap pulangan daripada pelaburan anda? (iaitu berapa banyakkah pulangan yang akan memuaskan anda)
• Berapa lamakah tempoh pelaburan anda? (sebagai contoh, 5 tahun, 10 tahun, dsb.)
• Adakah anda mempunyai fleksibiliti untuk mencairkan pelaburan yang berkenaan ketika anda terdesak?
• Bagaimanakah anda boleh memantau prestasi pelaburan anda secara berterusan berbanding dengan    keperluan anda yangberubah-ubah?

Langkah 3: Tahu strategi dan konsep melabur

Pempelbagaian

Strategi yang sudah terbukti berjaya dalam pelaburan ialah pempelbagaian - iaitu mempelbagaikan pelaburan anda. Pempelbagaian merupakan cara yang berkesan untuk meminimumkan risiko dan melindungi anda daripada volatiliti dalam sesuatu kelas aset atau industri.

Jenis pelaburan yang berbeza terdedah kepada tahap risiko yang berbeza dan dengan pempelbagaian, kerugian dalam sesetengah pelaburan boleh diimbangi oleh perolehan pelaburan lain.

Nilai masa wang

Masa ialah aset yang terbesar bagi sesiapa yang hendak melabur. Lebih awal anda melabur, lebih besar pulangan atas nilai wang anda. Ini disebabkan oleh prinsip faedah kompaun di mana anda memperolehfaedah atas pelaburan asal anda dan atas faedah yang telah anda peroleh daripada pelaburan anda.

Walaupun dengan perbezaan satu mata peratusan, kesan dalam jangka panjang boleh menjadi ketara.

Carta di bawah menunjukkan bagaimana pelaburan sebanyak RM1,000 pada kadar pulangan yang berbeza akan berkembang dalam tempoh 40 tahun.






Impak Inflasi dan Cukai

Perancangan yang baik serta memastikan kadar pulangan purata yang minimum bagi pelaburan dalam jangka panjang juga penting kerana wang yang anda punyai pada hari ini berkemungkinan tidak lagi mempunyai nilai yang akan membolehkan anda membeli jumlah barangan yang sama pada masa hadapan. Ini disebabkan inflasi menyusutkan nilai wang. Walaupun anda memperoleh pulangan daripada pelaburan, nilai sebenar pelaburan anda mungkin berkurangan disebabkan oleh kesan inflasi.

Matlamat pelaburan adalah untuk menambah wang anda melebihi kadar inflasi. Cukai juga akan mengurangkan pulangan pelaburan melainkan pelaburan anda mendapat pengecualian cukai. Oleh itu, anda perlu melabur dalam aset yang membolehkan anda mendapat pulangan terbaik sesudah mengambil kira kesan pencukaian dan inflasi dalam jangka panjang.




Memaksimumkan Pulangan

Sebagai pelabur, anda akan terus mencuba untuk mendapat pulangan yang tertinggi bagi pelaburan anda. Masa yang diperlukan untuk menggandakan wang anda boleh dikira dengan menggunakan Peraturan 72. Bahagikan 72 dengan peratusan faedah yang anda peroleh daripada simpanan.
Sekiranya pulangan yang dikira tidak memuaskan, anda boleh menimbang pilihan lain yang memberi kadar pulangan yang lebih tinggi.

Pemurataan Kos Ringgit (Ringgit Cost Averaging)

"Pemurataan kos ringgit" merupakan satu teknik yang diamalkan dengan meluas dalam industri amanah saham. Ia melibatkan pelaburan amaun yang tetap untuk tempoh yang khusus seperti bulanan, suku tahunan, atau tahunan tanpa mengambil kira bagaimana pasaran saham bergerak.

Apabila harga dana lebih tinggi, pelaburan tambahan akan membeli bilangan unit yang lebih kecil tetapi apabila harga lebih rendah, jumlah wang yang sama membolehkan anda membeli lebih banyak unit. Apa yang tersirat daripada pendekatan ini adalah, pada sesuatu masa, pasaran akan pulih kerana ia bergerak mengikut kitaran dan pada ketika inilah keuntungan boleh diambil.

Hubungan Risiko Dengan Pulangan

Terdapat banyak instrumen pelaburan dalam pasaran dan setiap satu mempunyai tahap risiko dan jangkaan pulangan yang berbeza. Sesetengah jenis pelaburan (seperti simpanan bon) bersifat "lebih selamat" berbanding dengan pelaburan yang lain. Ini bermaksud bahawa pelaburan asal anda kekal tetapi kadar pulangannya mungkin lebih rendah.

Pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lebih tinggi (seperti dana amanah saham ekuiti atau saham) juga mempunyai risiko yang lebih tinggi. Akibat tukar ganti (trade-off) risiko dan pulangan ini, anda perlu menimbang tahap risiko yang berkaitan dengan kelas aset yang berbeza dan memilih aset yang sesuai untuk pelaburan.






Memahami Risiko

Risiko ialah satu penunjuk jangkaan mengenai potensi keuntungan atau kerugian yang berkaitan dengan pelaburan yang merentangi masa. Jika anda menjangka akan meraih keuntungan yang tinggi dalam tempoh yang singkat, risiko yang ditanggung adalah tinggi.

Walau bagaimanapun, jika anda memilih pelaburan jangka panjang, tahap risiko yang ditanggung adalah lebih rendah. Semakin panjang tempoh masa pelaburan, variasi dan volatiliti pulangan cenderung untuk menjadi lebih rendah.

Langkah 4: Tahu pelaburan mana yang sesuai untuk anda

Sebelum anda memilih sebarang produk pelaburan, adalah penting bagi anda memahami pelaburan tersebut terlebih dahulu. Setiap aset adalah unik dan mempunyai profil risiko pulangan yang berbeza yang membolehkan anda melabur untuk mencapai matlamat kewangan yang berbeza.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa kebanyakan jenis pelaburan boleh membawa kerugian. Graf di bawah menunjukkan risiko dan pulangan bagi beberapa jenis instrumen pelaburan.





PERANCANGAN KEWANGAN DAN STRATEGI KITARAN HAYAT

Jumlah wang yang akan dilaburkan dalam pelbagai aset bergantung kepada:

Matlamat dan keperluan anda - untuk membeli rumah, melancongatau keperluan persaraan

Umur anda ketika melabur - ini akan menentukan berapa banyak risiko yang anda boleh ambil. Contohnya, jika anda masih muda, maka anda boleh mengambil risiko pelaburan yang secara relatif lebih tinggi

Pendapatan anda ketika melabur - jika anda berpendapatan lebih tinggi, maka anda akan mempunyai wang yang lebih untuk dilaburkan.Tahap kekayaan juga mempengaruhi jenis pelaburan yang anda boleh lakukan

Pekerjaan anda - contohnya, jika terdapat pelan persaraan dalam pekerjaan anda, anda mungkin tidak mahu mempunyai pelan persaraan lain.

Ufuk masa - bilakah anda mahu mencairkan aset anda? Kecairan - berapa cepatkah anda boleh menukarkan aset anda kepada wang tunai? Toleransi terhadap risiko - berapa banyakkah risiko yang anda sanggup tanggung?





APAKAH PROFIL RISIKO ANDA? 

Ketika menentukan profil risiko anda, tanya pada diri anda tentang persoalan berikut:

• Apakah peringkat usia anda? Jika anda masih muda, biasanya anda mampu mengambil risiko yang lebih besar dengan tujuan untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi dalam jangka panjang. Jika anda sudah tua, jaminan sara hidup merupakan faktor yang penting.

• Adakah matlamat anda jangka pendek, jangka sederhana atau jangka panjang? Secara umum, jika anda seorang pelabur jangka panjang, anda berkemampuan membuat pelaburan yang lebih berisiko. Walau bagaimanapun, jika anda memerlukan wang untuk bayaran muka pembelian rumah dalam jangka masa dua tahun, maka anda tidak seharusnya melabur dalam aset berisiko tinggi.

• Apakah sikap anda terhadap wang? Sesetengah orang sanggup mengambil risiko, manakala yang lain tidak. Oleh itu, anda perlu memahami sikap anda terhadap wang dan risiko sebelum membuat sebarang pelaburan.

• Setakat manakah kesanggupan anda menerima turun naik jangka pendek nilai pelaburan anda? Jika dengan melihat harga saham turun naik membuatkan anda susah hati, anda perlu mengehadkan pelaburan saham anda sehingga anda rasa lebih selesa.

• Adakah anda bersedia menerima risiko yang lebih tinggi untuk mendapatkan pulangan yang lebih besar? Pada umumnya, pelaburan tanpa risiko memberi pulangan yang lebih rendah. Oleh itu, cuba dapatkan tahap kombinasi risiko dan pulangan yang anda rasa selesa.

MENDAPATKAN NASIHAT KEWANGAN

 Terdapat banyak pihak yang menawarkan nasihat kewangan seperti bank, remisier, perancang kewangan atau ejen insurans, bergantung pada jenis instrumen pelaburan yang terlibat.

Walau bagaimanapun, sebelum anda memilih penasihat kewangan anda, pastikan yang beliau mempunyai kelayakan yang sesuai untuk memberi sebarang nasihat.

SUMBER MAKLUMAT 

Maklumat mengenai pelaburan boleh diperoleh daripada:

• Laporan tahunan yang diterbitkan oleh syarikat
• Surat khabar, jurnal dan majalah
• Internet
• Kursus
• Seminar

PELIHARA KEPENTINGAN ANDA

 Bagi sebarang pelaburan yang anda buat, tip-tip berikut perlu diambil kira:

• Memahami pelaburan dan risiko yang terlibat

• Pilih penasihat kewangan secara berhati-hati jika anda memerlukannya. Pastikan mereka berkelayakan dan berpengalaman. Tanyakan soalan dan pastikan anda faham isu dan prosedur yang terlibat. Dapatkan pandangan pihak kedua jika anda masih ragu

• Jangan terburu-buru ketika membuat keputusan. Berhati-hati terhadap taktik penjualan agresif yang memaksa anda membuat keputusan dan bertindak segera

• Simpan semua rekod transaksi yang dilakukan

• Berhati-hati dengan skim yang menjanjikan keuntungan cepat pada tahap risiko yang minima atau tanpa risiko

PERKARA YANG PERLU DIELAKKAN DALAM PELABURAN 

Terdapat beberapa amalan yang perlu anda elakkan semasa membuat keputusan untuk melabur bagi mengurangkan risiko menanggung kerugian:

• JANGAN meminjam untuk melabur - Anda tidak seharusnya menggunakan wang orang lain untuk melabur atau mengeluarkan wang tunai daripada kad kredit anda. Sekiranya anda tidak mempunyai wang, jangan melabur

• JANGAN melabur semata-mata untuk mendapatkan pulangan yang cepat dan tinggi - Pulangan yang cepat lazimnya mempunyai risiko yang tinggi. Sentiasa berwaspada terhadap skim cepat kaya haram yang menjanjikan pulangan wang yang cepat atas pelaburan anda. Orang yang menjalankan skim tersebut memberi janji palsu dan mungkin akan lesap bersama-sama wang anda

• JANGAN melabur dalam pelaburan yang berisiko tinggi kecuali anda benar-benar bersedia untuk menghadapi risiko tersebut. Sesetengah pelaburan melibatkan elemen spekulasi dan risiko yang tinggi (contohnya: dagangan hadapan)

• JANGAN melabur berdasarkan "hot tips" dan khabar angin


KESIMPULAN

Anda tidak seharusnya membuat sebarang keputusan melabur secara tergesa-gesa. Seorang pelabur yang bijak perlu mencari maklumat secara proaktif mengenai beberapa pilihan pelaburan yang ada.

Beliau perlu peka terhadap suasana pelaburan dan keadaan pasaran semasa. Para pelabur seharusnya sentiasa beringat untuk berhati-hati semasa membuat pilihan dan keputusan pelaburan.

GLOSARI

Akaun CDS (Sistem Depositori Berpusat atauCentral Depository System)

Ini merupakan akaun yang dibuka atas nama pelabur (sekurang-kurangnya 18 tahun pada tarikhpermohonan) dengan sesebuah syarikat pembrokeransaham.Akaun ini membolehkan pelabur menjual dan membeli saham serta menjalankan aktiviti di kaunter bukan ekuiti (iaitu bon,waran,stok pinjaman,dsb.) yang di bawah CDS.

Bursa Malaysia

Bursa saham di Malaysia.

Kadar Hasil

Sama maksud dengan pulangan. Bagi bon, istilah yang lazim digunakan ialah hasil.

Kecairan

Ini merujuk kepada betapa mudahnya anda boleh menukarkan aset anda kepada wang tunai pada nilai pasaran semasa.

Perancangan Kewangan

Mengatur kewangan anda bagi memenuhi sasaran anda.Sasaran tersebut boleh termasuk membeli rumah, membiayai pendidikan anak-anak atau merancang untuk persaraan melalui pengurusan kewangan yang betul.

Portfolio Ekuiti Yang Diurus Berasingan

Portfolio yang diurus oleh pengurus dana dimana pelabur memiliki sekuriti secara individu.

Pulangan

Apa yang diperoleh oleh seseorang pelabur daripada pelaburannya.

Risiko pelaburan

Ini merujuk kepada risiko nilai sesuatu pelaburan. Ia mungkin rendah disebabkan oleh faktor-faktor seperti pergerakan dalam harga aset berpunca daripada perubahan dalam sentimen pasaran, kitaran perniagaan, prestasi hasil syarikat dan perubahan dalam penarafan kredit.

Sasaran Kewangan

Ini merupakan apa yang ingin dibuat oleh seseorang terhadap wangnya dalam satu jangka masa tertentu. Penentuan sasaran adalah penting untuk membantu perancangan perbelanjaan dan perbelanjaan berhemah.

Sekuriti

Instrumen pelaburan yang diurusniagakan di bursa saham. Ia boleh dalam bentuk saham, waran atau sekuriti pendapatan tetap.

sumber : internet

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...