Saturday 3 December 2016

855 Koperasi Kariah Masjid Diperkasa

Koperasi kariah masjid di seluruh negara yang disasarkan mencecah 855 buah menjelang hujung tahun ini, akan terus diperkasa dalam usaha menjadikannya sebagai pusat pembangunan ekonomi masyarakat setempat. Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, penubuhan Konsortium Koperasi Masjid Malaysia pada bulan ini memberi impak besar dalam usaha melonjakkan lagi koperasi kariah masjid di seluruh negara.

“Kita minta semua koperasi kariah masjid supaya segera mendaftar sebagai ahli konsortium yang akan membantu mereka meningkatkan perniagaan koperasi dan membuka peluang dalam pelbagai bidang perniagaan.

“Kita yakin gabungan semua koperasi kariah mashid di seluruh negara dengan aset melebihi RM10.5 juta setakat ini dapat melonjakkan lagi kemajuannya yang mempunyai lebih 23,000 ahli pada masa ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Kariah Masjid al-Wosto Kampung Tanjung Besar Temerloh Berhad di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Koperasi Kariah Masjid al-Wosto Kampung Tanjung Besar Temerloh Berhad, Abdul Sata Mat Rani. Menurut Abdul Fattah, pihaknya mensasarkan sebanyak 855 daripada 6,230 masjid di seluruh negara mempunyai koperasi kariah masjid menjelang hujung tahun ini. Pada masa ini kata beliau, sebanyak 399 koperasi kariah masjid ditubuhkan manakala 496 buah lagi dalam proses penubuhan.

“Sehingga akhir tahun lalu terdapat 23,121 ahli koperasi kariah masjid dengan syer berjumlah RM4.14 juta dan aset keseluruhan sebanyak RM10.5 juta,” katanya. Katanya, penubuhan konsortium berkenaan amat penting dalam memastikan jalinan kerjasama antara semua koperasi sekaligus memberi impak besar kepada kemajuannya.

Jelasnya, melalui konsortium berkenaan, pelbagai aktiviti perniagaan dapat dilaksanakan termasu kdalam usaha mengurangkan peranan orang tengah. “Saya minta lebih banyak masjid menubuhkan koperasi kariah masing-masing dan bersama-sama dengan konsortium bagi melonjakkan lagi kecemerlangan dan keupayaan koperasi berkenaan,” katanya.

Perkongsian dari : http://www.angkasa.coop/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=339:855-koperasi-kariah-masjid-diperkas&catid=92:berita-angkasa-dalaman&Itemid=2042

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...