Saturday 3 December 2016

Koperasi masjid jana pendapatan

MELAKA 30 Julai - Peranan masjid hari ini tidak lagi terbatas sebagai tempat beribadat sebaliknya mampu menjadi institusi perniagaan melalui penubuhan Koperasi Kariah Masjid kendalian Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Presidennya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, melalui penubuhan koperasi di setiap masjid, pihaknya akan membantu menyediakan khidmat pengurusan dan kemudahan bank kewangan untuk perniagaan yang diwujudkan oleh koperasi masjid.

Menurutnya, Angkasa menawarkan pelbagai bentuk perniagaan yang sesuai dijalankan oleh koperasi masjid yang dikenal pasti mampu menjana pendapatan untuk koperasi.

"Misalnya, koperasi masjid boleh juga menawarkan khidmat pinjaman persendirian kepada mana-mana ahli kariah masjid dan panel bank di bawah Angkasa akan menyalurkan sumber kewangan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Penubuhan Koperasi Kariah Masjid peringkat negeri yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md. Amin di sini, hari ini.

Setakat ini, katanya, masjid di Pahang dan Selangor berjaya menubuhkan koperasi kariah masing-masing yang kini berjumlah 70 buah.

"Kita menyasarkan pada tahun ini, 50 masjid di Melaka akan mewujudkan koperasi kariah masing-masing," katanya.

Kata beliau, antara bentuk peniagaan yang dianggap sesuai dijalankan mengikut keperluan masyarakat ialah seperti pusat hemodialisis dan gelanggang futsal yang semakin mendapat sambutan ramai.
Kata Mohd. Ali, projek perniagaan yang dirancang koperasi masjid akan digerakkan melalui Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (Kopsya) termasuk membiayai projek terlibat.

Katanya, usaha itu bertujuan mempelbagaikan fungsi masjid sebagai tempat ibadat dan pusat penggerak ekonomi umat Islam melalui penubuhan koperasi kariah masjid itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...