Saturday 3 December 2016

Masjid wajar ada koperasi jana pembangunan kariah

PULAU PINANG 23 Jun - Kariah masjid di seluruh negara disaran menubuhkan koperasi supaya dapat menjana pendapatan sekali gus membangunkan kariah masing-masing.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah penubuhan koperasi itu dilihat mampu membuka peluang perniagaan yang luas memandangkan pelbagai faedah dan kelebihan dimiliki kariah masjid.

Katanya, pelbagai inisiatif melalui perkongsian dalam kalangan ahli kariah boleh dilaksana melalui penubuhan koperasi kariah masjid demi kelangsungan kariah masing-masing.

"Kita ada lebih 6,000 kariah masjid di seluruh negara yang setiap satunya terdiri daripada ahli-ahli kariah yang berbeza latar belakang dan mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu khususnya dalam bidang perniagaan.

"Jadi melalui penubuhan koperasi, kariah masjid dilihat mempunyai potensi besar untuk menceburi bidang perniagaan yang berimpak tinggi," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Pendidikan Zakat Dalam Ekonomi Koperasi di sini kelmarin.

Tambah Abdul Fattah, kini ada hampir 300 kariah masjid yang telah menubuhkan koperasi seluruh negara dan Angkasa menyasarkan jumlah itu ditingkatkan kepada 1,000 koperasi kariah masjid menjelang hujung tahun ini.

"Ada antara koperasi kariah masjid ini yang berjaya dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan seperti membuka inap desa dan membuka kelas bimbingan untuk pelajar sekolah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...