Thursday 8 December 2016

Koperasi Kariah Masjid (KKM) dan perkembangannya

Merujuk kepada statistik setakat 30 Jun 2015, daripada 323 koperasi kariah masjid yang ada cuma 141 yang untung. Bermakna yang lain samada pusing modal atau rugi. Ini yang menjadi pertanyaan penulis kerana ada 182 koperasi kariah masjid ( KKM ) yang tidak untung.

Sepatutnya tiada KKM yang tidak untung, sebabnya :

1. Koperasi Kariah Masjid adalah hak kepunyaan ahli kariah, bermakna setiap ahli kariah berhak menjadi ahli koperasi, melabur dan menjadi rantaian kepada koperasi samada sebagai pelanggan, pengguna, pembeli atau boleh juga sebagai pembekal, penasihat, penyewa dan sebagainya. Aktiviti koperasi kariah masjid mestilah disokong oleh kesemua ahli kariah, tidak boleh sama sekali menidakkan seseorang atau sekumpulan orang samada disebabkan perbezaan pandangan, pendapat dan sebagainya.

2. Koperasi Kariah Masjid bukanlah perkara baru. Ianya sudah wujud, ada yang melebihi 10 tahun. Ini bermakna sepatutnya sudah ada SOP ( Prosedur Operasi Standard ) yg boleh digunapakai dan dijadikan rujukan. Rujukan boleh bermaksud bagaimana menubuhkan satu koperasi kariah masjid yang menguntungkan.

3. Koperasi Kariah Masjid disokong oleh ANGKASA, Kementerian dan Jakim serta Majlis Agama dan Jabatan Agama setiap negeri. Bantuan oleh kerajaan dan juga pinjaman ada disediakan terutama untuk tujuan penubuhan. Sepatutnya ahli kariah masjid berlumba-lumba memajukan kkm.

Melihat kepada fakta ringkas diatas, sesuatu perlu dilakukan contohnya :

1. Mengapa tidak ramai ahli kariah yang menjadi ahli KKM. Adakah penubuhan satu2 KKM disembunyikan dari pengetahuan ahli kariah ? Tiadakah pengumuman ringkas atau pemberitahuan kepada ahli kariah terutamanya pada hari jumaat atau hari raya. Jika dilihat pada statistik tersebut ada negeri yang mempunyai purata 16 ahli koperasi bagi setiap masjid ( cth negeri Kelantan ). Manakala purata untuk seluruh koperasi kariah masjid ( 323 buah ) hanya mempunyai 63 ahli koperasi bagi setiap kariah masjid. Inilah antara sebab kenapa hanya masjid yang patut menubuhkan koperasi manakala surau2 sebagai pengantara antara masjid dan ahli kariah masjid.

1.1 Perkara keahlian diatas adalah yang paling penting untuk diberi perhatian. Dengan anggaran umat Islam sebanyak 20 juta dan ada sebanyak 6,000 lebih masjid di Malaysia, purata setiap masjid mempunyai 3,000 ahli KKM.

1.2 Keahlian KKM perlu di tekankan kepada semua ahli kariah. Koperasi Kariah Masjid mesti menjadi fokus utama umat Islam untuk melabur, menjalin kerjasama perniagaan, mendapatkan barangan dan perkhidmatan dan bekerja. Jika dilakukan bersungguh-sungguh Koperasi Kariah Masjid boleh menjadi antara majikan terbesar di Malaysia.

2. Mengapa ada antara KKM yang rugi? Pihak manakah yang berautoriti untuk memantau perkembangan dan hala tuju KKM  atau semua urusan KKM terletak di bahu Ahli Lembaga Koperasi sahaja. Disinilah perkara keahlian diatas memainkan peranan penting, lebih ramai ahli lebih banyak idea dan buah fikiran yang bermanfaat dapat diambil dan lebih ramai pakar dalam pelbagai bidang dapat berhubung.

2.1 Jenis perniagaan yang dijalankan oleh setiap kkm tentulah berbeza diantara satu sama lain tetapi perkongsian ilmu sepatutnya dilakukan sebaik mungkin. Mungkin sistem mentor mentee KKM boleh dilaksanakan.

2.2 Pengurusan koperasi kariah masjid sepatutnya di ketuai oleh pakar dalam bidang perniagaan.  Pakar perniagaan tentu mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang pastinya pertimbangan risiko serta untung rugi menjadi fokus utama.

3. Perkara terakhir ialah berkenaan perkembangan atau penubuhan koperasi masjid yang perlahan. Jika perlahan bermaksud dalam perancangan yang teliti tidak menjadi masalah. Masalahnya ialah penubuhan koperasi biasanya melibatkan persetujuan AJK masjid yang mana diketahui bahawa banyak masjid yang ahli jawatankuasanya sudah agak berumur dan mungkin kurang berminat dengan KKM.

3.1 Oleh itu inisiatif dan ketegasan ahli kariah sendiri untuk dilaksanakan KKM memang digalakkan demi kebaikan ahli kariah masjid itu sendiri.

Setakat itu dan semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...